ANTARA rokok seludup yang dirampas dari sindiket milik warga tempatan di Kuantan, Pahang.
ANTARA rokok seludup yang dirampas dari sindiket milik warga tempatan di Kuantan, Pahang.
Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Bawa masuk menerusi Tak Bai, Thailand sebelum menjadikan daerah Setiu dan Besut di Terengganu sebagai hab penyeludupan rokok.

Sindiket yang didalangi dua warga tempatan itu kini menguasai aktiviti haram di negeri berkenaan membabitkan nilai pasaran puluhan juta ringgit.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan sindiket itu menjadikan beberapa restoran dan premis sebagai stor penyimpanan sementara sebelum diedarkan bagi tujuan pasaran.

Penguasaan warga tempatan itu dalam aktiviti berkenaan menyebabkan dia kini digelar 'taiko' di daerah berkenaan dan mula melebarkan sayap di kawasan lain di pantai timur.

Susulan penguasaannya itu yang jelas merugikan negara, Skuad Khas Harian Metro membongkar kegiatan mereka menerusi siasatan dijalankan wartawan dan maklumat diperoleh sumber yang dipercayai.

Menurut maklumat sumber, dua lelaki warga tempatan itu menjalankan kegiatan membawa masuk rokok putih berjenama U2, Manchester, Saat dan LEE.

STOR penyimpanan rokok seludup milik sindiket berkenaan di Besut dan Setiu.
STOR penyimpanan rokok seludup milik sindiket berkenaan di Besut dan Setiu.

"Kegiatan ini bermula sejak lima tahun lalu, bermula secara kecil-kecilan oleh individu dikenali sebagai A dan M ini mula melebarkan sayapnya ke daerah Setiu dan Besut.

"Kini mereka sudah menguasai 100 peratus pasaran rokok seludup di dua daerah berkenaan dan akan melebarkan sayap ke kawasan lain," katanya.

Menurutnya, kegiatan dua lelaki terbabit dipercayai dilindungi oleh beberapa individu dari pihak berkuasa.

"Ini menyebabkan mereka lebih berani melakukan aktiviti ini, jika ditanya penduduk setempat sudah pasti mereka tahu di mana boleh mendapatkan rokok seludup ini.

"Jika dilihat tangkapan dan rampasan dilakukan di luar daerah ini oleh pihak berkuasa dari negeri lain," katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, rangkaian sindiket itu mempunyai hierarki tersusun yang sistematik bagi melancarkan aktiviti penyeludupannya.

"Dia kini dibantu pasukannya terdiri daripada bahagian kewangan, transporter, simpanan (stor) hinggalah ke peruncit.

"Transporter sahaja merangkumi perkapalan, bot, kenderaan darat serta laut. Ini bukan biasa-biasa. Mereka satu organisasi yang sangat tersusun," katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di sekitar dua daerah berkenaan mendapati rata-rata penduduk terutama nelayan menghisap rokok seludup.

STOR  penyimpanan rokok seludup milik sindiket berkenaan di Besut dan Setiu.
STOR penyimpanan rokok seludup milik sindiket berkenaan di Besut dan Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 8:36 AM