LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis tidak akan melindungi atau menyembunyikan mana-mana pegawai dan anggotanya yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok haram yang didakwa berleluasa di daerah Besut dan Setiu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit yang boleh menjejaskan imej pasukan berkenaan.

Menurutnya, pemantauan dan operasi sentiasa dijalankan bagi mengekang aktiviti penyeludupan rokok haram yang kini menjadikan kawasan Utara Terengganu sebagai lokasi pendaratan.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan pembabitan beberapa anggotanya berikutan berlaku kebocoran maklumat setiap kali operasi dijalankan.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada pembabitan beberapa individu (pegawai/anggota) kerana berlaku pembocoran maklumat operasi. Jadi kita telah maklumkan mengenai perkara ini kepada pihak atasan untuk tindakan pemantauan dan siasatan lanjut.

"Ia masih dalam siasatan dan pemantauan termasuk mendapatkan bukti kukuh pembabitan mereka sebelum sebarang tindakan diambil," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi dan pemantauan supaya sindiket berkenaan tidak mengambil kesempatan menjadikan kawasan yang dikenal pasti itu sebagai laluan mereka.

Katanya, semua ketua polis daerah yang terbabit iaitu Kuala Terengganu, Besut dan Setiu juga diminta bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mendapatkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti atau kehadiran pihak mencurigakan di kawasan mereka.

"Kita memerlukan bantuan daripada JPKK untuk menyalurkan maklumat tentang pendaratan, stor simpanan serta kehadiran kenderaan-kenderaan yang mencurigakan memasuki kawasan kampung mereka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan daerah Setiu dan Besut didakwa menjadi hab penyeludupan rokok haram yang dibawa masuk menerusi Tak Bai, Thailand.

Sindiket yang didalangi dua warga tempatan itu kini menguasai aktiviti haram di negeri berkenaan membabitkan nilai pasaran puluhan juta ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 5:55 PM