Zanariah Abd Mutalib dan Mohd Nasaruddin Parzi


Putrajaya: Kerajaan sedia menambah kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika pelaksanaan subsidi bersasar kelak memberi kesan kepada golongan rentan dan memerlukan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pendekatan subsidi bersasar akan terus diambil kira pentadbirannya, tetapi pada masa sama, kerajaan akan menyediakan jaringan keselamatan yang lebih efektif untuk golongan rentan dan miskin.

"Tidak ada kadar tambahan (kenaikan kos) rakyat, tapi tidak untuk 10 peratus yang (berpendapatan) teratas, subsidi akan ditarik. Maknanya, kita dapat menyelamatkan hampir RM4 bilion daripada penyasaran subsidi ini.

"Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan mengesankan kepada rakyat, kita akan tambah STR supaya mereka dapat tampung kerugian itu," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2023 di sini, malam ini.

Beliau berkata, langkah subsidi pukal tidak lagi relevan dan mampan tatkala kos menampung terus membengkak setiap tahun.

"Subsidi kepenggunaan pada 2022 saja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah.

ANWAR ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama.

"Tidak ada kerajaan yang mampu dengan amalan subsidi sekarang. Tapi subsidi yang mahu ditarik tidak harus membebankan rakyat. Jadi diharap hal ini difahami," katanya.

Anwar berkata, jumlah subsidi boleh meningkat kepada RM81 bilion bagi tahun mendatang jika tidak ditangani segera.

"Kita tak naikkan harga, tapi tarik subsidi untuk orang kaya. Maknanya, subsidi itu macam sedekah.

"Kitalah yang paling baik di dunia ini sebab kita sedekah pada orang kaya. Ini yang berlaku dalam negara dan harus diperbetulkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:13 PM