AWAL Ashaari hadir ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara. FOTO Rohanis Shukri
AWAL Ashaari hadir ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan tarikh sebutan semula keputusan representasi membabitkan kes khianat pengacara popular, Awal Ashaari pada 18 April.

Peguam bela Awal, Datuk M Reza Hassan berkata, pihaknya perlu mengemukakan semula representasi kepada pihak pendakwaan.

"Kes ini sudah diambil alih oleh Timbalan Pendakwa Raya baru jadi beliau tiada maklumat berkenaan representasi yang kita hantar pada 17 November lalu.

"Jadi pihak pendakwaan minta kita kemukakan semula representasi berkenaan untuk diteliti semula.

"Justeru pihak mahkamah memberikan tarikh sebutan semula bagi mendengar keputusan representasi itu dan tarikh perbicaraan pada 15 Ogos," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Awal berkata, dia hanya sabar menanti sehingga tarikh perbicaraan dan keputusan dibuat.

"Hari ini saya datang dengan harapan dapat keputusan, tapi tidak. Mahkamah pun sudah berikan tarikh baru untuk sebutan dan perbicaraan. Jadi, buat masa ini saya hanya menanti dengan sabar," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, 16 Mei lalu atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan perumahan.

Susulan itu, peguam bela Awal, dilapor memfailkan representasi kepada pendakwaan bagi membatalkan pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara dengan nilai kerugian dianggar RM600 pada jam 11.30 pagi, 16 April lalu.

Pengacara itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 11:22 AM