Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman akan memfailkan representasi keempat bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

Peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, representasi itu difailkan selepas representasi ketiga atas tujuan sama ditolak pihak pendakwaan.

Menurutnya, pihaknya tiada niat melengahkan prosiding dengan memfailkan representasi seterusnya kerana yakin kes terbabit dapat diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

"Kami mendapat arahan anak guam untuk memasukkan representasi keempat dan sudah memaklumkannya kepada pihak pendakwaan mengenai hasrat kami ini semalam. Rakan bijaksana (pendakwaan) tiada bantahan atas permohonan itu.

"Kami juga memohon supaya tarikh bicara hari ini dan esok dilapangkan sementara representasi keempat dimasukkan dan dipertimbangkan," katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun depan untuk perbicaraan kes.

Muhammad Yasin atau dikenali Yasin didakwa menggunakan dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, 5.30 petang pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 11:54 AM