Faris Fuad


Petaling Jaya: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menangguhkan keputusan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman pada 15 Disember depan.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, pihaknya masih mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh peguam kepada Muhammad Yasin.

"Sebutan kes hari ini ditetapkan bagi keputusan representasi. Saya ingin maklumkan representasi diterima dan sedang dalam pertimbangan.

"Kami belum ada jawapan dan meminta tarikh sebutan berhubung keputusan representasi berkenaan. Pihak-pihak bersetuju tarikh sebutan akan datang pada 15 Disember," katanya.

Susulan itu, peguam penyanyi itu, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya sedia maklum representasi perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

"Namun, kami harap keputusan itu dapat diputuskan pada tarikh akan datang dan cadangkan tempoh sebulan dari sekarang," katanya.

Dalam prosiding pada 4 Oktober lalu, Ariff Azami memaklumkan representasi termasuk laporan perubatan yang komprehensif difailkan pada 26 September lalu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Kota Damansara, di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan memiliki dadah dibuat mengikut Seksyen 6 Akta ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 1:35 PM
Muhammad Yasin menjawab pertanyaan media sebaik keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengemukakan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya. FOTO BERNAMA
Muhammad Yasin menjawab pertanyaan media sebaik keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengemukakan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya. FOTO BERNAMA