FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Suzianah Jiffar


PERUNTUKAN sebanyak RM783 juta untuk membaik pulih sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2020 diharap dapat menyelesaikan masalah sekolah daif di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sebanyak 587 sekolah daif di Sabah daripada 1,300 sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Sambil merakamkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Dr Yusof berkata, ia adalah peruntukan besar untuk Kementerian Pendidikan.

“Saya bersyukur kerajaan melihat positif kepada pelaburan pendidikan khususnya untuk sekolah daif di negeri ini dan ia amat dialu-alukan.

“Sebenarnya keperluan keseluruhan untuk sekolah daif di di Sabah adalah RM3 bilion kerana kita ada 587 sekolah daif dengan 91 daripadanya sudah diisytiharkan sebagai tidak selamat diduduki.

“Kelulusan sebanyak RM88 juta untuk bangunan ganti sebanyak 22 sekolah daif di Sabah kini dalam proses pelaksanaan, manakala baki sebanyak 69 lagi sekolah tidak selamat memerlukan kos RM270 juta dan kita harap ia dapat dilaksanakan tahun hadapan,” katanya di Kota Kinabalu.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan Persekutuan juga memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutama di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, peruntukan sebanyak RM5.2 bilion kepada Sabah adalah tertinggi berbanding negeri lain.

Namun masih rendah juga jika diukur dari wilayah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai rakyat Sabah, kita bagaimanapun cukup berterima kasih kepada Menteri Kewangan yang sudah mula faham akan keperluan Sabah.

“Peningkatan peruntukan khas untuk Sabah daripada RM26 juta kepada RM52 juta adalah satu pengiktirafan. Kita juga melihat semua lapisan masyarakat mendapat faedah daripada belanjawan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 10:46 AM