FADILLAH ketika ditemubual di Parlimen. FOTO Bernama
FADILLAH ketika ditemubual di Parlimen. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan penyelesaian isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri terlibat iaitu Sabah dan Sarawak secara bersama dan inklusif.

Katanya walaupun beliau berasal dari negeri Bumi Kenyalang, ia tidak akan memberi kelebihan kepada Sarawak sahaja dalam perkara melibatkan MA63.

"Bila saya jadi timbalan perdana menteri bukan hanya untuk Sarawak tapi untuk semua. Dalam jawatankuasa MA63 juga ada Majlis Pelaksana dan pengerusinya adalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta anggotanya terdiri daripada Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor)," katanya dalam temu bual khas dengan Bernama baru-baru ini.

Fadillah yang bertanggungjawab memastikan penyelesaian semua terma MA63 berkata, usaha penyelesaian perkara tersebut turut melibatkan semua agensi daripada kerajaan persekutuan dan negeri, namun penyelesaian isu berbangkit dalam MA63 adalah berbeza kerana tuntutan tidak sama antara kedua-dua negeri tersebut disebabkan latar belakang yang berbeza.

"Kita lihat juga latar belakang Sabah dan Sarawak berbeza, undang-undang yang berbeza di dua negeri tersebut… Sebab itu saya kira bukan dari segi kedudukan (pimpinan yang ada) tetapi lebih kepada latar belakang sebab itu mungkin Sarawak dapat cepat selesai dan Sabah lambat," katanya.

Menjelaskan tentang perkara dalam MA63 yang belum dapat dilaksanakan walaupun MA63 telah ditandatangani pada 1963 oleh Malaya (kini Semenanjung Malaysia), Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudian keluar dari Malaysia pada 1965), Fadillah berkata ia melibatkan lampiran yang terdapat dapatan dan cadangan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Ada cadangan yang patut dibuat tapi tak dibuat bila Malaysia dah terbentuk, itu yang sebenarnya di Sarawak dan Sabah kata kita patut laksanakan. Ada perkara bukan sahaja tak dilaksana malahan apa yang sepatutnya menjadi bidang kuasa Sabah dan Sarawak kena ambil, sebagai contoh di bawah Akta Pelantar Benua.

"Kalau kita melihat sempadan untuk Sarawak dulu ialah 200 kilometer, takrifan pelantar benua ialah tanah sampai ke bawah, maknanya semua minyak dan gas itu hak milik Sarawak tapi bila berlaku darurat dulu bidang kuasa membuat undang-undang terletak di bawah bidang Kerajaan Persekutuan," katanya.

Tidak menolak lantikan beliau untuk menggalas tanggungjawab tersebut merupakan satu permulaan kepada jalinan integrasi nasional, Fadillah berkata ia juga merupakan salah satu jalan untuk maju.

"Ada rahmat yang terselindung… apa yg berlaku keadaan politik sekarang dan dengan tuntutan lebih kuat daripada Sabah dan Sarawak untuk keterangkuman, jadi ini mungkin salah satu cara penyelesaian. Dan sebab itu saya kira Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri pun memang impikan wujudnya perpaduan, dan salah satu kaedah melalui perkongsian kuasa.

"Dengan ada perkongsian kuasa mungkin pemahaman kepada inspirasi pembentukan Malaysia itu dulu dapat diterjemahkan, bukan sahaja dalam konteks politik tapi juga dalam segala aspek termasuk jawatan dalam kerajaan, perkongsian ekonomi, kekayaan negara, dari segi kesaksamaan dan kebersamaan pembangunan sosioekonomi," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi amat berbesar hati dengan hasrat Al-Sultan Abdullah untuk menyelusuri Lebuh Raya Pan Borneo pada September ini sempena sambutan Hari Malaysia bermula dari Telok Melano, Sarawak menghala ke Sabah melalui Brunei.

Hasrat tersebut, katanya mencerminkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap rakyat.

"Sewaktu Seri Paduka menjadi Yang di-Pertuan Agong pelbagai kemelut politik berlaku tapi Seri Paduka dapat menyelesaikan, mencari jalan keluar untuk memastikan politik ini (dan negara) akan berada dalam keadaan stabil dan sekarang ini ingin sebagai pemimpin pertama menjelajah (Pan Borneo)," katanya.

Pada 13 Feb lalu, ketika merasmikan sesi kedua Parlimen ke-15, Al-Sultan Abdullah telah menyatakan hasrat untuk memandu di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Menyentuh mengenai pembinaan lebuh raya tersebut, bekas Menteri Kanan Kerja Raya itu berharap jalan berkenaan siap 98 peratus menjelang September depan untuk fasa pertama di Sarawak, manakala Sabah pula 70 peratus untuk fasa sama.

"Ada dua bahagian tidak dapat siap disebabkan ada dua isu - pengalihan utiliti dan juga reka bentuk semula sebab pergerakan tanah terpaksa buat kejuruteraan baharu, salah satunya di Bukit Begunan Sri Aman, Sarawak," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 12:14 PM