Ribuan murid dan guru dari pelbagai sekolah serta penduduk setempat mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, hari ini. FOTO BERNAMA
Ribuan murid dan guru dari pelbagai sekolah serta penduduk setempat mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada jelajah Kembara Kenali Borneo, petang semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang menyambut ketibaan Baginda berdua.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terharu dengan sambutan rakyat yang meluangkan masa seawal 12 tengah hari serta sabar menanti di sepanjang 34 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan Baginda berdua.

"Walaupun Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong mengambil masa selama hampir enam jam ke hotel penginapan, Baginda berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa lebih kurang 30 minit.

"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat di hari pertama Baginda berdua berangkat tiba di Sabah bagi merealisasikan impian Baginda menelusuri Sabah dan Sarawak, bermula hari ini di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September 2023 kelak," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat di setiap lokasi yang dirancang bagi program Kembara Kenali Borneo supaya menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam merealisasikan Kembara Kenali Borneo.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya atas majlis sambutan keberangkatan tiba Baginda berdua di Tawau, termasuk penganjuran Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, semalam," katanya.

Seri Paduka berdua turut mengajak rakyat mendoakan agar impian pengembaraan Baginda berdua yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak dipermudahkan serta berjalan dengan lancar dan jayanya.

Beliau berkata, Baginda turut bertitah agar semangat perpaduan yang terserlah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini juga ditunjukkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak pada sambutan Hari Malaysia 2023 pada 16 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 10:58 AM