AHMAD Zahid. FOTO Asyraf Hamzah
AHMAD Zahid. FOTO Asyraf Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menggunakan logo sendiri biarpun mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi dalam PRN itu sudah mula dibincangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia belum dimuktamadkan.

"Isu pembahagian kerusi akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"BN akan menjalin kerjasama antara parti politik sedia ada tetapi calon BN akan kekal menggunakan lambang BN," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan rasminya ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara.

Amirudin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang di-Pertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:54 PM