CHANG Lih Kang. FOTO Arkib NSTP.
CHANG Lih Kang. FOTO Arkib NSTP.
Essa Abu Yamin


Putrajaya: Proses pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih dalam perbincangan.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata, perkara berkenaan setakat ini masih dalam rundingan tetapi perkembangannya sangat positif.

"Perkembangan berkenaan membabitkan semua negeri yang akan mengadakan PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kalau mengikut tradisi keputusan memuktamadkan pengagihan kerusi berkenaan kita akan umumkan sehari sebelum atau pada hari penamaan calon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pihaknya memberikan keputusan berkenaan secepat mungkin cumanya ada kala satu atau dua kerusi yang terlewat diputuskan.

Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, senarai calon masih belum dibincangkan dan perbincangan sebelum ini hanya memfokuskan kepada pengagihan kerusi saja.

"Senarai calon masih belum sampai tahap perbincangan, sekarang kita bincang tentang pembahagian kerusi sahaja," katanya.

Ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar di Selangor, beliau berkata, hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim saja yang boleh membuat keputusan.

"Mengenai calon Menteri Besar Selangor itu kena tanya Presiden dan ia tidak dibincangkan lagi," katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pembahagian kerusi antara parti komponen PH sudah hampir selesai.

"Ketika ini kata sepakat sedang ditunggu antara PH dan BN. Saya rasa tiada masalah dan rundingan berkenaan masih diteruskan berhubung PRN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 11:34 AM