Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Urusan agihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berdepan masalah, kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Larut itu berkata soal agihan kerusi masih lagi dalam perbincangan termasuk ketetapan penggunaan logo di tiga negeri ditadbir Pas pada PRN nanti.

Tiga negeri berkenaan adalah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kita sedang berbincang, jadi belum memuktamadkan lagi sebarang keputusan (agihan kerusi dan logo) tetapi kita sudah beberapa kali bincang kerusi-kerusi yang akan diagihkan kepada parti dalam PN.

"Tiada masalah berkenaan agihan kerusi. Kita memang tidak ada masalah mengenai hal itu. Kita macam adik beradik.

"Mengenai penggunaan logo, itu kite belum putuskan lagi," katanya yang juga Setiausaha Agung PN.

Semalam enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara semalam.

Selain Amirudin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sansi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengambil kira tempoh sama pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah terajui PN.

PRN itu perlu diadakan memandangkan tempoh mandat Dun di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:53 PM