Omar Ahmad

Johor Bahru : Golongan belia asnaf bakal diberi latihan percuma malah turut dibantu bagi membuka perniagaan dalam bidang gunting rambut.

Program anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Waqaf An-Nur Corporation Bhd itu membuka peluang kepada 50 golongan asnaf khususnya belia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata program itu akan dijangka bermula awal tahun depan dengan 20 asnaf sebagai permulaan.

"Ia bagi membantu golongan ini mempunyai kemahiran dalam bidang gunting rambut, sekaligus membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Ini adalah pertama kali MAINJ bekerjasama dengan Waqaf An-Nur dan kita memilih perniagaan gunting rambut kerana ia satu cabang perniagaan yang memiliki potensi.

"Latihan percuma selama tiga bulan akan diberikan, selepas itu kami akan cuba membantu mendapatkan tapak perniagaan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan dalam kadar segera," katanya pada sidang media selepas program pra perasmian 'End Year Of Zakat' bermula 1 hingga 31 Disember depan secara dalam talian di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Noh Gadut, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Md. Rofiki Samsudin dan Ketua Eksekutif WANCorp, Bukhari And Rahman.

Selain itu, Tosrin memaklumkan MAINJ juga akan melatih 50 lagi asnaf untuk membuat pemasaran secara dalam talian menerusi kerjasama dengan Johor Bizz Digital.

TOSRIN (dua dari kanan) menyerahkan perjanjian kerjasama usahawan digital kepada Bukhari pada sidang media 'End Year Of Zakat' di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
TOSRIN (dua dari kanan) menyerahkan perjanjian kerjasama usahawan digital kepada Bukhari pada sidang media 'End Year Of Zakat' di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:16 PM