TANGKAP layar rakaman video suspek melarikan beg tangan milik mangsa di sebuah stesen minyak di Cheras, Kuala Lumpur, yang tular di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar rakaman video suspek melarikan beg tangan milik mangsa di sebuah stesen minyak di Cheras, Kuala Lumpur, yang tular di media sosial, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak, di sini, yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 14 saat di Facebook yang dimuat naik jam 7.30 malam, hari ini.

"Rakaman video berkenaan memaparkan kejadian samun berkawan yang membabitkan mangsa iaitu seorang wanita tempatan di stesen minyak berkenaan.

"Hasil semakan dilakukan mendapati kejadian samun itu berlaku kira-kira jam 9 pagi tadi membabitkan dua suspek lelaki yang belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, salah seorang suspek bertindak melarikan beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta wanita itu.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM500. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai maklumat sekiranya berhubung kejadian ini.

"Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam rakaman video itu memaparkan seorang lelaki memakai helmet melarikan beg tangan mangsa dari pintu penumpang hadapan kereta wanita terbabit.

Suspek kemudian dilihat mahu melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama seorang lagi suspek.

Wanita itu dilihat cuba mengejar motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek, namun gagal dengan mangsa terjatuh dalam usahanya menghalang penjenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 11:47 PM