Jalaluddin (tengah) ketika menyaksikan upacara tandatanga antara  Norazlin dengan Pengawai Daerah Jelebu Abdul Rahim pada majlis penyerahan jambatan berkenaan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Jalaluddin (tengah) ketika menyaksikan upacara tandatanga antara Norazlin dengan Pengawai Daerah Jelebu Abdul Rahim pada majlis penyerahan jambatan berkenaan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Selepas menunggu lebih dua tahun, penduduk tiga kampung boleh menarik nafas lega berikutan tiga jambatan masing-masing di Kampung Chalin, Kampung Sungai Limau dan Kampung Lubuk Ganchung yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021, siap dibina.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, biarpun berstatus jambatan pertanian, ia turut menjadi laluan utama bagi kira-kira 300 penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan.

Katanya, pembinaan ketiga-tiga jambatan itu membabitkan kos berjumlah RM1.5 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Jambatan sepanjang 36 meter itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya Februari dan Mac lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada penduduk.

"Biarpun pembinaannya lewat atas pelbagai faktor, penantian penduduk bagi mendapatkan jambatan baharu sudah berakhir," katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Jambatan di Kampung Chalin di sini, semalam qq

Hadir sama, Pengarah KKDW Negeri Sembilan/Melaka, Norazlin Mohd Nor dan Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangqn dan Komoditi negeri berkata, pembinaan ketiga-tiga jambatan itu turut mencatat sejarah berikutan menjadi projek jambatan pertama yang dilaksanakan oleh Unit Teknikal KKDW Negeri Sembilan.

Katanya, pembinaan jambatan pertanian itu amat penting kerana bukan sahaja menjadi laluan penduduk kampung ke jalan utama tetapi juga ke kebun pertanian berhampiran.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang berkata, jambatan di Kampung Bemban yang juga musnah dalam banjir besar itu akan mula dibina tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 8:50 AM