MAYA pernah tidak berlakon empat tahun.
MAYA pernah tidak berlakon empat tahun.
Georgie Joseph


KEIKHLASAN Maya Karin sentiasa melangkaui ketamakan untuk menyambar banyak tawaran berlakon. Dia tetap berpegang teguh kepada prinsipnya sentiasa utamakan kualiti hasil kerja.

Maya atau nama sebenar Maya Karin Roelcke, 44, percaya amanah terbesarnya adalah sentiasa pastikan dia dikenali menerusi mutu lakonan. Rasa cinta terhadap seni itu lebih utama.

Justeru, untuk merasa risau namanya mungkin dilupakan langsung tiada dalam kamus kerjayanya. Lagipun, banyak filem lakonannya sebelum ini masih dimainkan sehingga kini.

"Saya nak peminat kenal Maya Karin sebab lakonan saya. Saya masuk dalam industri bukan nak kejar populariti, tapi sebab saya cintakan seni.

"Orang yang betul-betul ikhlas, dia takkan takut tenggelam. Lagipun filem saya dimainkan semula setiap kali perayaan, jadi dari situ peminat boleh kenal saya," katanya.

Maya tidak dinafikan antara pelakon yang pasti meninggalkan impak besar. Kecemerlangan lakonan menjadi tunggak penting namanya kekal bertahan kuat dalam industri.

Antara sebab utama namanya tetap disanjung tidak lain kerana dia bijak memilih naskhah bagus. Pegangan itu sentiasa disemat dalam dirinya meskipun pernah tidak menjalani penggambaran selama lebih empat tahun.

Alasannya, dia tidak berjumpa skrip terbaik dan dia enggan paksa diri terbabit naskhah yang tidak memenuhi kemahuan diri.

"Saya pernah empat tahun tidak berlakon selepas filem Munafik hanya kerana tidak berpuas hati dengan skrip yang saya dapat. Saya tak pernah meletakkan kuota perlu berlakon sejumlah filem dalam setahun kerana saya hanya memilih naskhah sesuai dengan jiwa saya," katanya.

Ditemui pada majlis tayangan filem The Experts baru-baru ini, Maya menyifatkan tawaran membintangi filem arahan Andre Chew dan Nazim Shah itu ada makna tersendiri.

Watak sebagai Miranda sangat kena dengan dirinya yang meminati tarian tango. Dipasangkan pula dengan Remy Ishak, dia gembira dapat kembali bergandingan dengan rakan baiknya itu.

Dia akui, ada cabarannya juga memandangkan Remy tidak pandai menari. Namun, dia gembira apabila babak tarian mereka dapat disempurnakan juga berkat latihan berminggu-minggu.

"Memang agak mencabar sebab Remy tiada asas menari langsung. Minggu pertama kami ikuti kelas, saya bimbang babak menari tango itu tak berjaya kerana Remy agak keras.

"Lagipun tak mudah sebab kami juga kena pastikan tak banyak buat salah. Kalau setakat menari untuk suka-suka tak mengapa jika tersalah 'step'," katanya.

Lebih membanggakan Maya semestinya kerana mereka tidak menggunakan khidmat pelakon gantian demi dapatkan syot tarian terbaik.

"Tapi, untuk filem kami tak boleh buat kesilapan supaya tak susahkan orang lain jika terpaksa 'shoot' semula. Bagaimanapun, kami berdua berjaya juga jalani babak itu dengan baik tanpa gunakan pelakon 'stand-in'," katanya.

The Experts yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Mei lalu dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Ray Dap Dap, Tony Eusoff, Douglas Lim, Wan Hanafi Su dan Hasnul Rahmat.

Filem itu mengisahkan lima beradik sudah lama tinggalkan aktiviti merompak. Namun, terpaksa lakukannya semula selepas diugut gengster paling berbahaya dan mengancam keselamatan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:54 AM