PETIKAN video yang tular.
PETIKAN video yang tular.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Cheras: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian, 8.49 pagi semalam.

"Wanita berusia 27 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Cheras, pihak polis kini sedang dalam usaha untuk mengesan suspek terbabit.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadianboleh menyalurkan kepada Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan tindakan lelaki terbabit yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan di stesen LRT.

Video berdurasi seminit 11 saat itu turut memaparkan wanita berkenaan diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Lelaki berkenaan juga mengetuk cermin tren menggunakan kasut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:50 PM