Polis meminta individu memuat naik video mendakwa diganggu secara seksual tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil. FOTO Ihsan PDRM
Polis meminta individu memuat naik video mendakwa diganggu secara seksual tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Individu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika berada di dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) di minta tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil.

Dalam klip video berdurasi 31 saat yang tular di Twitter memaparkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka dilihat merakamkan mangsa menggunakan telefon pintar.

Dalam kapsyen disertakan bersama video itu, mangsa mendakwa menyedari lelaki itu merakamkan gambarnya dan menyebabkan dia menjerit kerana tindakan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya mengesan video berkenaan tular di media sosial jam 9.55 pagi hari ini.

"Polis mengesan video berdurasi 31 saat yang dimuatnaik seorang pengguna Twitter mendakwa seorang individu melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam MRT arah Cheras menuju Pusat Bandaraya.

"Sehingga kini, pihak polis masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian ini. Pihak Polis Cheras meminta kerjasama individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran awam.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 5:23 PM