BARISAN pelakon dan tenaga kerja teater Bujang Lapok Kembali Daa.
BARISAN pelakon dan tenaga kerja teater Bujang Lapok Kembali Daa.
Ridzuan Abdul Rahman


TARIKH 29 Mei ini genap 51 tahun Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggalkan kita.

Pemergiannya ternyata memberikan kesan apabila meninggalkan karya seni filem dan lagu yang merentas zaman.

Hasil karyanya juga tak lekang ditelan zaman dan terus kekal diminati semua golongan termasuk generasi baharu.

Fenomena ini mencetus inspirasi kepada Pertubuhan Pencinta Teater Himpunan Dayacipta Selangor Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau dikenali dengan Teater Hidayah untuk mementaskan teater berjudul Bujang Lapok Kembali Daa sempena program Kembara Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Teater ini akan diarahkan Siti Sarah Jamil, manakala olahan skrip dibuat Suky San.

Pengarah program, Yusry Kamaruzaman berkata, pementasan Bujang Lapok Kembali Daa memberi nafas babaru kepada generasi muda serta penggiat seni dengan naskhah ini supaya masyarakat setempat tidak lupa karya hebat P Ramlee dengan peredaran masa.

"Ia menggarap kepekaan masyarakat terhadap seni dan karya, sekali gus membawa khalayak pada karya beliau yang membawa kita mengimbau kenangan sehingga kini.

"Tenaga produksi yang tidak sampai 20 orang ini sangat bersemangat dan satu hati untuk melestari menjayakan pementasan Bujang Lapok Kembali Daa.

"Walaupun keadaan produksi yang serba kekurangan terutama sumber kewangan, semua yang terbabit mempunyai iltizam tinggi untuk menjayakannya," katanya.

Teater Bujang Lapok Kembali Daa menampilkan Suky San (Ramlee), Yazid Asril (Sudin), Shahril Kamil (Aziz) dan penampilan istimewa, Najua P Ramlee serta dibantu Nina Hali (Mami), Ika Angah (Sabariah), Apai Azha (Apek), Adibah Kahar (Ayu), Dhaniyah (Marjina), Hazzley (Pendekar Mustar) dan Man Isa (Mamu).

Bujang Lapok Kembali Daa mengisahkan perjalanan tiga sekawan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pelbagai cabaran ditempuhi Bujang Lapok. Walau bagaimanapun keadaannya, Bujang Lapok tetap tenang dan gembira.

Bujang Lapok Kembali Daa tampil dengan pelbagai elemen iaitu pengajaran, lucu dan sedih dari kreativiti yang diolah produksi untuk merealisasikan dalam bentuk persembahan teater.

Adaptasi naskhah daripada filem P Ramlee dalam satu cerita digabungkan dari selingan filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Alibaba Bujang Lapok dan diselitkan juga babak Ibu Mertuaku.

Selain genre komedi yang dibawakan, pelakon juga akan membawa watak berlainan dalam babak Ibu Mertuaku.

Pementasan ini mendapat kerjasama daripada Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor dengan sokongan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara dan Majlis Teater Negeri Selangor.

Pementasan berlangsung pada 31 Mei ini hingga 2 Jun ini bertempat di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:55 AM