ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit kes samun kedai serbaneka di Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit kes samun kedai serbaneka di Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga individu tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun kedai serbaneka di Jalan Cheras, di sini, pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, anggaran kerugian dilaporkan berjumlah RM1,500.

"Hasil risikan dilakukan atas maklumat orang awam, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sekitar Persiaran Surian, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai serbaneka berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Hasil tangkapan itu, kami berjaya menyelesaikan lapan kes samun kedai serbaneka yang dilaporkan di sekitar Lembah Klang.

"Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 7 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah di daerah ini.

"Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 5:31 PM