PASUKAN Regu pasukan Malaysia ketika aksi Final Malaysia menentang pasukan Thailand pada perlawanan Final berpasukan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO Hazreen Mohamad
PASUKAN Regu pasukan Malaysia ketika aksi Final Malaysia menentang pasukan Thailand pada perlawanan Final berpasukan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO Hazreen Mohamad
Dr Mohd Firdaus Abdullah

KEJAYAAN Malaysia merangkul kejuaraan dunia berganda dalam Piala Dunia Sepak Takraw kategori Regu dan Beregu kelmarin menandakan satu pencapaian bersejarah. Tahun 2011 adalah tahun pertama Piala Dunia Sepak Takraw diadakan di tempat sama, tetapi ketika itu, regu Malaysia tewas kepada Thailand 3-0.

Penampilan kali ini bukan sahaja menamatkan penantian 13 tahun, tetapi kemenangan menewaskan Thailand dalam kedua-dua kategori menjadikan ia sejarah bermakna dalam sukan sepak takraw Malaysia. Kemenangan ini bukan sahaja membawa kebanggaan kepada negara, tetapi membuka lembaran baharu dalam usaha menaikkan keterlihatan sukan sepak takraw di mata dunia. Lebih membanggakan, kejayaan ini dicapai dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand yang selama lebih sedekad mendominasi arena sepak takraw antarabangsa.

Malaysia kini berada dalam posisi kukuh untuk mempromosi sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa. Dengan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan X, Malaysia boleh menyebarkan sorotan permainan, dokumentari serta penyiaran langsung perlawanan kepada penonton global. Di samping itu, kerjasama dengan saluran televisyen sukan antarabangsa seperti ESPN dan Eurosport membantu memperluaskan jangkauan penonton.

Menurut laporan dari Sports Business Journal pada 2022, platform digital menjadi kunci menghubungkan peminat sukan di seluruh dunia dan Malaysia boleh memanfaatkan trend ini untuk sukan sepak takraw.

Sebagai juara dunia, Malaysia boleh menganjurkan lebih banyak kejohanan antarabangsa. Penganjuran acara seperti Liga Dunia Sepak Takraw, kejohanan jemputan, dan liga profesional yang melibatkan pasukan dari seluruh dunia akan menarik perhatian global. Menurut kajian University of Derby pada 2023, penganjuran kejohanan besar terbukti mampu meningkatkan penglibatan dan minat terhadap sukan itu. Malaysia juga boleh menyediakan platform penstriman dan penyiaran untuk memastikan liputan meluas, seterusnya menambah bilangan penonton serta peminat sukan ini di seluruh dunia.

Malaysia boleh menubuhkan pusat latihan dan akademi sepak takraw bertaraf antarabangsa. Akademi ini kemudian bakal menjadi pusat rujukan bagi pemain dan jurulatih dari seluruh dunia, memberi latihan intensif dan pendedahan kepada teknik permainan sepak takraw yang terkini. Menurut laporan pada 2021 oleh International Journal of Sports Science & Coaching, pusat latihan bertaraf antarabangsa dapat meningkatkan tahap permainan global dan menarik minat pemain luar untuk belajar tentang budaya serta teknik permainan sukan tersebut.

Kerjasama erat dengan badan sukan antarabangsa seperti International Sepaktakraw Federation (ISTAF) penting dalam usaha pembangunan sukan sepak takraw. Malaysia boleh mengadakan program pembangunan sukan dan kempen kesedaran melibatkan klinik latihan, seminar kejurulatihan, dan kursus pengadilan.

Program ini dapat meningkatkan kemahiran teknikal pemain dan jurulatih serta memperkukuh hubungan antarabangsa dalam komuniti sepak takraw.

Menggalakkan media tempatan dan antarabangsa melaporkan perkembangan dan kejayaan sukan sepak takraw di Malaysia adalah strategi yang berkesan. Artikel, wawancara, dan liputan berita meluas akan meningkatkan minat serta pengetahuan masyarakat global terhadap sukan ini. Menurut kajian Nielsen Sports pada 2021, liputan media konsisten dan mendalam dapat meningkatkan penglibatan dan sokongan penonton dan penyokong terhadap sesuatu jenis sukan.

Dengan menyediakan fasiliti bertaraf dunia, Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet tempatan tetapi juga bakal menarik pasukan dan pemain luar untuk datang dan berlatih di sini. Fasiliti yang baik dapat menarik atlet dari seluruh dunia dan meningkatkan tahap latihan secara teratur dan sistematik, sebagaimana laporan oleh World Academy of Sport tahun lalu.

Malaysia juga oleh menganjurkan program pembangunan sukan di peringkat komuniti. Pertandingan peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi, serta program pertukaran pelajar antarabangsa, dapat memupuk minat dari peringkat awal. Program ini bukan sahaja memperkenal sukan sepak takraw kepada generasi muda, tetapi membina asas kukuh untuk masa depan sukan ini.

Kajian Unicef pada 2019 menunjukkan program pembangunan sukan di peringkat komuniti dapat meningkatkan penglibatan belia dan membina asas yang kuat untuk masa depan sukan.

Dengan mengambil langkah ini, Malaysia mampu memainkan peranan signifikan menaikkan keterlihatan dan populariti sukan sepak takraw di mata dunia. Kejayaan mengatasi Thailand dalam Piala Dunia Sepak Takraw ini membuktikan Malaysia bukan sahaja berupaya menjadi kuasa besar dalam sukan ini tetapi juga peneraju dalam memperkenalkan sepak takraw ke pentas dunia.

Mungkin sudah tiba masanya negara kita memastikan sukan ini terus berkembang subur di peringkat global.

Penulis Pensyarah Kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:30 AM