RAKAMAN video menunjukkan tiga lelaki memukul seorang pemandu e-hailing.
RAKAMAN video menunjukkan tiga lelaki memukul seorang pemandu e-hailing.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial, 11.30 pagi semalam.

"Semakan dilakukan mendapati rakaman berdurasi empat minit dua saat itu yang memaparkan seorang pemandu e-haling dipukul tiga lelaki berlaku jam 6.30 petang pada 26 Februari lalu.

"Difahamkan sebelum kejadian, mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.

"Penunggang motosikal itu kemudian menunjukkan jari tengah sebagai tanda tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

Zam Halim berkata, beberapa minit kemudian, mangsa didatangi tiga lelaki tempatan dari gerai tepi jalan yang memarahi mangsa dengan alasan bersikap biadap terhadap penunggang motosikal.

"Ketiga-tiga suspek bertindak memukul dan mencederakan mangsa. Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Beliau menegaskan sebarang bentuk jenayah kekerasan dianggap kes serius dan akan disiasat oleh pihak polis dengan baik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050 sambungan 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 12:45 PM