NADIA (tengah) dan Afifa (dua dari kanan) ketika majlis rumah terbuka Hernation x Health Hub di Damansara.
NADIA (tengah) dan Afifa (dua dari kanan) ketika majlis rumah terbuka Hernation x Health Hub di Damansara.
Ramlah Zainal


MESKIPUN sekadar watak pembantu dalam drama bersiri fenomena Lelaki Itu, pelakon Nadia Brian mengakui kejayaan luar biasa karya terbitan produksi Erma Fatima itu turut memberi impak besar pada kerjaya lakonannya.

Malah, kata Nadia, 33, apa yang memberangsangkan dia dapat bekerja dengan Erma dan barisan pelakon hebat dalam drama yang merekodkan 1.13 bilion capaian di media sosial.

"Saya terima tawaran berlakon watak Sharifah Baiyinah dalam drama Lelaki Itu kerana mahu bekerja dengan Erma dan barisan pelakon hebat seperti Nur Fazura, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda dan Datuk Adi Putra.

"Contohnya, banyak ilmu lakonan yang dapat ditimba dari Sarimah yang melakonkan watak ibu saya, Sharifah Qaidah dalam drama itu kerana dia tidak lokek ilmu dan sangat merendah diri," katanya yang menjadikan Datin Seri Umie Aida dan Fazura sebagai idola dalam bidang lakonan.

Lebih bermakna, kata Nadia, dia juga tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon ketika ini.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana rezeki juga melimpah-ruah selepas berlakon dalam drama Lelaki Itu.

"Terbaharu, saya bakal terbabit dengan penggambaran cerita seram terbitan Multimedia Entertainment pada Julai depan," katanya pada majlis rumah terbuka Hernation x Health Hub di Klinik Family di Damansara.

Ditanya persaingan dengan pelakon baharu pula, kata Nadia, dia tidak tercabar dengan kemunculan mereka yang turut mewarnai bidang seni tanah air.

"Saya sudah sedekad berlakon dan memiliki tapak dalam industri seni. Apa yang penting, saya perlu menjaga kualiti dan prestasi lakonan untuk bersaing dengan bakat baharu yang muncul setiap masa.

"Saya juga mengalu-alukan kedatangan bakat baharu mewarnai industri seni tanah air kerana industri seni juga macam roda.

"Kemunculan bakat baharu seperti Anna Jobling kerana permintaan dari stesen TV dan saya anggap itu rezeki mereka," katanya yang seangkatan dengan pelakon Zahirah Mc Wilson dan Azira Shafinaz.

Beralih perancangan masa depan pula, kata Nadia yang masih solo, dia impi untuk bergelar penerbit pada masa depan.

"Terus terang, saya sangat mencintai bidang lakonan dan merancang menjadi penerbit satu hari nanti.

"Saya juga masih belajar ilmu dalam bidang lakonan dari semasa ke semasa.

"Pada masa sama, saya juga merancang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi (kajian dalam bidang lakonan) di universiti," kata pemegang Diploma Seni Persembahan dan Teater serta Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Sementara itu, mengenai produk Hernation pula, kata Nadia, ia diusahakan bersama rakan kongsi, Afifa Anuar sejak setahun lalu.

"Ahli keluarga saya buat bisnes sejak dulu. Saya juga menceburi bisnes sebagai jaminan masa depan.

"Produk Hernation membabitkan jamu Lady Adra dan 'face mist' juga mendapat kerjasama dengan Klinik Family serta kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selain beri tenaga, jamu itu juga baik untuk kesihatan dalaman wanita. Setakat ini ia dijual secara online dan mendapat sambutan baik dari pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:45 AM