LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah menahan suspek utama yang menyebabkan dua lelaki cedera akibat ditetak dalam pergaduhan kerana dipercayai mengganggu isteri orang di Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, lelaki terbabit ditahan semalam dan direman sehari bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

"Sementara wanita yang ditahan sebelum ini juga sudah dibebaskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua lelaki cedera selepas terbabit dalam pergaduhan dipercayai akibat mengganggu isteri orang di Cheras.

Kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun cedera kerana ditetak menggunakan parang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek dan kejadian boleh menghubungi Hotline IPD Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 1:59 PM