Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku ketua penerangan parti berkuat kuasa hari ini.

Beliau hanya dimaklumkan perkara itu ketika berjumpa Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi hari ini, namun katanya satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

"Saya sudah menerima peletakan jawatan ketua penerangan efektif hari ini.

"Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah," katanya ketika sidang media selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN)-Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

Hadir sama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut tindakan Wan Saiful, Muhyiddin memuji sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai satu langkah bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah itu sekali gus menggambarkan satu standard daripada Bersatu apabila ahlinya berdepan tuduhan mahkamah.

"Ini satu set standard kita nak tunjukkan bahawa dia berdepan tuduhan supaya tidak menimbulkan salah pandangan terhadap Bersatu.

"Beliau sendiri mengatakan 'saya meletak jawatan'.

"Jadi satu langkah yang cukup saya hargai tetapi tanggungjawab ini akan terus dipimpin ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) lain yang akan dipilih dalam tempoh segera.

"Ini kerana tugas ketua penerangan penting kerana kita nak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Jadi kita akan namakan nanti untuk teruskan kerja-kerja baik yang dibuat oleh Wan Saiful," katanya.

Dengan pendekatan sebegitu, Muhyiddin turut berharap agar langkah diambil dapat memudahkan selain menangkis pandangan negatif terhadap parti.

Jelasnya, ia bukan menghukum sebaliknya tindakan Wan Saiful itu adalah secara sukarela.

"Kita harap langkah kita ambil ini akan memudahkan dan tidak akan timbul pandangan negatif terhadap kita. Ini satu sifat cukup mulia dan saya sanjung supaya kita berdepan dengan bermaruah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 2:42 PM