Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Pengunduran Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menjejaskan parti berkenaan kerana sudah mempunyai pengalaman sebelum itu, bahkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sedang giat menyusun semula struktur organisasi di negeri itu.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penyusunan itu akan dilaksanakan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu Sabah yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, Bersatu sudah beberapa kali melihat situasi keluar masuk parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU), bahkan mempunyai pengalaman apabila tokoh paling besar dalam parti, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti diikuti anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahaya.

"Jadi saya rasa ini (keluar parti) satu perkara lumrah yang perlu dilalui mana-mana parti. Cabaran naik turun itu biasa tetapi Bersatu di Sabah akan terus kekal.

"Tidak perlu bimbang kerana sesiapa (pemimpin atasan) yang lepaskan jawatan untuk pergi ke parti lain, akan ada pengganti.

"Peringkat MPT kita ada perancangan dan kita percaya Timbalan Presiden akan mengetuai usaha menyusun semula organisasi bahagian-bahagian (yang runtuh)," katanya ketika diminta mengulas berhubung situasi yang melanda Bersatu Sabah ketika ini.

WAN Saiful. FOTO Danial Saad
WAN Saiful. FOTO Danial Saad

Sebelum itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui pemberita ketika meninjau masalah pencemaran debu yang dihadapi peniaga dan penduduk kampung Lubuk Meriam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan bahawa keputusan keluar parti dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (Warisan).

Hajiji dilaporkan berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS-BN juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:19 PM