MUKHRIZ ketika Majlis Pelancaran Jentera PRU-15 GTA Johor. FOTO Essa Abu Yamin
MUKHRIZ ketika Majlis Pelancaran Jentera PRU-15 GTA Johor. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Penolakan gabungan parti lain untuk tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana kemungkinan gabungan itu sudah mempunyai senarai agihan kerusi yang ditetapkan.

Timbalan Pengerusi GTA Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya penggabungan dilakukan saat akhir akan menyebabkan satu rombakan pembahagian kerusi.

"Perkara berkenaan juga akan merumitkan dan dibimbangi berlaku pertembungan di kerusi Parlimen yang sama.

"Bagaimana pun, semua gabungan parti iaitu GTA, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai satu misi yang sama iaitu bertanding untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 GTA Johor di di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, GTA menyasarkan bertanding di 17 daripada 26 kerusi parlimen di Johor dan sudah mengenal pasti 17 daripadanya adalah penempatan majoriti Melayu yang tinggi.

"Parlimen yang mempunyai penempatan seperti itu akan menjadi tumpuan selaras dengan perjuangan parti.

"Bagaimana pun senarai calon akan dimuktamadkan esok sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 November ini," katanya.

Menurut Mukhriz, kepimpinan parti berharap dengan jumlah yang banyak bertanding di Johor akan dapat menyumbang jumlah kemenangan daripada 120 parlimen GTA bertanding di seluruh negara.

"Tentunya GTA serius dalam menawarkan calon dan kita masuk dalam pilihan raya bukan untuk berseronok sahaja.

"Kita tahu kita berhadapan dengan saingan yang sangat sengit dan datangnya daripada parti yang sudah lama bertapak di Johor ini contohnya Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 7:42 PM