ALLAHYARHAM Datuk Yunus Rahmat
ALLAHYARHAM Datuk Yunus Rahmat
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Bekas Ahli Parlimen Jelebu Datuk Yunus Rahmat atau lebih dikenali Apak Yunus meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, hari ini.

Arwah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang meninggal dunia kira-kira 12 tengah hari.

Berita pemergian Allahyarham berusia 68 tahun itu disahkan isterinya Datin Juriah Suleiman ketika dihubungi.

"Saya tidak sangka dia akan 'pergi', sebelum itu kami hendak pergi mesyuarat, ketika duduk di kerusi dalam pejabat, dia tiba-tiba mengadu sakit belakang dan tidak sedar.

"Kami segera membawa ke hospital namun doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah suaminya ada meminta nama keluarga yang sudah meninggal dunia untuk mengadakan majlis tahlil.

"Tak sangka dia pergi meninggalkan kami pada Jumaat ini.

"Jenazah masih di Kuantan dan akan dimandi dan dikafankan di sini. Allahyarham dijangka dikebumikan di Seremban esok," katanya.

Allahyarham bergelar Ahli Parlimen Jelebu mewakili Barisan Nasional dari 1995 hingga 1999 dan Adun Klawang (2008 hingga 2018) selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dari 2008 hingga 2013.

Beliau kemudian mengumumkan menyertai Bersatu pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 5:22 PM