TEMPAT kejadian mangsa lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu, di sini, semalam. FOTO ihsan PDRM
TEMPAT kejadian mangsa lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu, di sini, semalam. FOTO ihsan PDRM
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kunjungan kali pertama seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2 ke Sungai Kombat, Felda Perasu, di sini berakhir tragedi apabila lemas di sungai terbabit, semalam.

Kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu bersama empat rakannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika mandi, seorang rakan menyedari mangsa hampir lemas dan cuba menyelamatkannya dengan menggunakan sebatang kayu, tetapi kayu itu patah sebelum remaja itu hanyut dan tenggelam dibawa arus.

Katanya, rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal apabila remaja itu dihanyutkan arus deras.

"Rakannya melaungkan azan dan tidak lama kemudian mangsa timbul. Mereka membawa mangsa ke tebing sungai dan memberi bantuan pernafasan tetapi gagal.

"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Felda Perasu dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Choon Foo berkata, sebelum kejadian mangsa sempat makan di sebuah gerai di Felda Chiku 2 dan merancang untuk ke sungai terbabit.

Katanya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tidak terdapat unsur jenayah dalam kematian mangsa yang juga anak bongsu kepada Peneroka Felda Chiku 2 dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Tempat kejadian sudah kali kedua dikunjungi rakan-rakan mangsa, namun kunjungan pertama bagi mangsa yang tinggal di Felda Chiku 2. Mangsa adalah seorang OKU lembam dalam pembelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 12:46 PM