Paya Linda Yahya


Gua Musang: "Selepas ini tiada lagi yang akan sambut saya balik kerja," kata Mohd Mazuan Mohd, 34, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini, semalam.

Mohd Mazuan adalah bapa kepada kanak-kanak, Muhammad Syahrul Darwish, 4, yang lemas di parit air di belakang rumahnya di Felda Chiku 1 dekat sini.

Mohd Mazuan berkata, kejadian 6.15 petang itu disedarinya apabila dia pulang dari kerja.

Katanya, kebiasaannya, anak bongsu dari dua beradik itu akan menyambutnya pulang dari tempat kerja, namun pada petang semalam kelibat anak lelakinya itu tidak kelihatan.

"Saya tanya isteri, anak mana. Apabila diajukan soalan itu, barulah kami tersedar anak bongsu kami tiada bersama dan kami mencari di dalam rumah.

"Biasanya arwah akan bermain bersama kakaknya. Kami mencari di dalam rumah tapi tak jumpa, naluri saya kuat mengatakan anak pergi ke parit air di tepi rumah yang dinaiki air kerana hujan lebat sebelum itu," katanya.

Katanya, mayat anak lelakinya itu ditemukan penduduk kampung di padang bola Felda Chiku 1 yang jaraknya kira-kira empat kilometer (km) dari rumahnya.

"Dugaan ini memang berat buat kami sekeluarga terutama kepada isteri, namun kami perlu reda untuk menerima semua ini," katanya.

Jenazah Muhammad Syahrul Darwish, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1 dan 2 jam 1.35 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di padang bola Felda Chiku 1 dekat sini, pada 6.50 petang.

"Mangsa ditemukan kira-kira empat km dari tempat kejadian iaitu rumah mangsa dan dipercayai dihanyutkan arus deras.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Gambar keluarga Mohd Mazuan bersama anaknya. FOTO Ihsan Keluarga
Gambar keluarga Mohd Mazuan bersama anaknya. FOTO Ihsan Keluarga

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 10:06 AM