Lokasi tempat kejadian perserta Program Jamboree Peminat 4X4 ditemukan lemas di Sungai Lebir, Aring 6, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Lokasi tempat kejadian perserta Program Jamboree Peminat 4X4 ditemukan lemas di Sungai Lebir, Aring 6, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Paya Linda Yahya


Gua Musang : Seorang peserta Program Jamboree Peminat Pacuan Empat Roda ditemukan lemas di Sungai Lebir, Aring 6, di sini semalam.

Mangsa, Mohd Hanafiah Abd Hamid, 54, yang berasal dari Putrajaya ditemukan pada 5.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mangsa dipercayai tergelincir ketika mandi bersama rakan-rakan dan jatuh ke tempat dalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pada 5.17 petang pihaknya menerima maklumat daripada panggilan kecemasan.

"Mangsa dijumpai pada 5.30 petang. Mangsa adalah salah seorang peserta yang menyertai Program Jamboree Peminat 4X4 bermula semalam hingga 6 Ogos ini di Sungai Lebir.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa tergelincir ketika mandi dan dihanyutkan arus sungai. Rakan-rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 10:09 AM