PENUNTUT GiatMara Chiku 5 ditemui lemas ketika mandi bersama sembilan rakan di Sungai Chiku 3, dekat Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
PENUNTUT GiatMara Chiku 5 ditemui lemas ketika mandi bersama sembilan rakan di Sungai Chiku 3, dekat Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Ramli Ibrahim


PENUNTUT GiatMara Chiku 5 ditemui lemas ketika mandi bersama sembilan rakan di Sungai Chiku 3, dekat Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mayat Nik Saifuldin Nik Yusuf, 18, berasal dari Rancangan Tanah Felcra Gugusan Panggong Lalat, Gua Musang, ditemui dua jam kemudian berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa dikatakan mandi sendirian yang agak jauh dari rakannya dan dikatakan beberapa minit berada di dalam sungai sebelum lemas.

“Rakan mangsa tidak sempat menyelamatkannya sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Gua Musang.

“Mayat mangsa ditemui pada 3.30 petang oleh penduduk kampung dan anggota bomba tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan malam ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.36 tengah hari.

“Sembilan anggota bersama dua jentera dan ambulans (EMRS) bergegas ke lokasi untuk melancarkan gerakan mencarinya bermula 2.30 petang.

“Mayat ditemui tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira sejam selepas operasi dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 8:44 PM