MANGSA Wan Abu Hurairah Wan Mohd Salam dikhuatiri lemas. FOTO Ramli Ibrahim
MANGSA Wan Abu Hurairah Wan Mohd Salam dikhuatiri lemas. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Galas dekat Kampung Lembaga di sini, 2.30 petang semalam.

Kanak-kanak itu, Wan Abu Hurairah Wan Mohd Salam, 11, yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang sebelum itu dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama empat rakannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan hanyut dibawa arus bersama seorang rakannya sebelum tiga rakan lain cuba menyelamatkan mereka..

"Arus deras menyebab mangsa hilang dan tidak sempat diselamatkan. Hanya rakannya dapat diselamatkan.

“Keluarga mangsa mencarinya terlebih dahulu sebelum bapanya, Wan Mohd Salam Wan Salleh, 45, membuat laporan polis pada 1 pagi," katanya di sini hari ini.

Berikutan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat dimulakan 7.30 pagi tadi yang turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan RELA.

Beliau berkata, lokasi pencarian menumpu di kawasan mangsa hilang, namun berdepan sedikit kesulitan disebabkan arus sungai deras kerana hujan di kawasan hulu sungai, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 11:53 AM