Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan meninjau lokasi struktur jejambat dan tiang retak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Kuala Lumpur, pada Rabu ini.

Tinjauan itu diadakan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kerosakan dan kemajuan siasatan.

"Saya akan buat tinjauan pada Rabu ini," katanya ringkas dalam sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang dihentikan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bermula 27 Januari lalu.

Perkhidmatan bas perantara diaktifkan sejak hari pertama bagi menggerakkan penumpang terkesan akibat gangguan selain penempatan petugas tambahan bagi melancarkan pergerakan.

Waktu puncak perkhidmatan juga dilanjutkan dari 6.30 pagi hingga 10.30 pagi dan 4.30 petang hingga 8.30 malam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Malaysia Berhad Prodyut Dutt dilaporkan berkata, siasatan menyeluruh ke atas kerosakan berkenaan bakal mengambil masa dua minggu untuk dilengkapkan.

Beliau dilaporkan berkata, perunding kejuruteraan yang dilantik sudah memulakan siasatan pada 2 Februari lalu.

ANTHONY Loke pada sidang media di LTSAAS. FOTO Asyraf Hamzah
ANTHONY Loke pada sidang media di LTSAAS. FOTO Asyraf Hamzah

,

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:00 PM