KEROSAKAN struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak berhampiran stesen LRT Bandaraya. FOTO Bernama
KEROSAKAN struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak berhampiran stesen LRT Bandaraya. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Siasatan menyeluruh ke atas kerosakan struktur jejambat dan tiang yang retak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya bakal mengambil masa dua minggu untuk dilengkapkan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Malaysia Berhad Prodyut Dutt berkata perunding kejuruteraan yang dilantik telah memulakan siasatan tersebut semalam.

"Kerja-kerja baik pulih bergantung kepada hasil siasatan yang akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat)," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kerosakan di stesen LRT Bandaraya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah jawankuasa telah dibentuk melibatkan pihaknya serta Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Prodyut berkata pihaknya perlu mengutamakan keselamatan penumpang dan setiap tindakan diambil mengambil kira faktor keselamatan sebelum memulakan operasi seperti sedia kala.

Media sebelum ini, melaporkan operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bermula 27 Jan lepas.

Perkhidmatan bas perantara diaktifkan sejak hari pertama bagi menggerakkan penumpang yang terkesan akibat gangguan tersebut selain penempatan petugas tambahan bagi melancarkan pergerakan.

Waktu puncak perkhidmatan juga dilanjutkan dari 6.30 pagi hingga 10.30 pagi dan 4.30 petang hingga 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:51 PM