Inap Desa di Pos Gob akan di selenggara dan dibina baru. FOTO Paya Linda Yahya
Inap Desa di Pos Gob akan di selenggara dan dibina baru. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Inap Desa Pos Gob yang dulunya terkenal dalam kalangan peminat sukan pacuan empat roda akan dibangunkan kembali dengan membina 11 inap desa baru bagi membangunkan kembali eko-pelancongan di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, berkata inap desa itu menjadi tumpuan peminat sukan lasak itu walaupun berada jauh di pedalaman dan keadaan jalan mencabar.

Katanya, aktiviti eko-pelancongan itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Setakat ini kita dapat peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membina kira-kira 11 rumah inap desa.

"Saya difahamkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) akan membina lima dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membina enam inap desa untuk kemudahan pelancong. Selain itu, kita juga dapat peruntukan RM250,000 untuk membina dewan terbuka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dia percaya dengan usaha yang sedang dilakukan bagi membina 11 lagi inap desa itu akan mengubah taraf ekonomi masyarakat Orang Asli suku kaum temiar di perkampungan itu.

Katanya, Pos Gob mempunyai keindahan alam semula jadi seperti sungai yang bersih air terjun, landskap semula jadi yang boleh memukau pengunjung.

"Saya harap jika inap desa dan jalan perhubungan sudah siap sepenuhnya akan membawa satu perubahan baru kepada penduduk Orang Asli di kawasan ini," katanya.

Manakala bagi, penduduk Pos Gob, Aman Pak Ngah, 47, berkata usaha itu di sambut baik penduduk tempatan.

"Dengan kehadiran pelancong ini, mereka dapat merasai dan melihat sendiri cara hidup masyarakat orang Asli di kawasan ini.

"Malah kami sebagai penduduk kampung juga akan mendapat manfaat dengan kehadiran mereka kerana dapat menjual hasil hutan dan kraftangan kepada pelancong

"Kami berharap inap desa baru dapat disiapkan secepat mungkin untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat di Pos Gob dan memberi peluang kepada anak muda untuk mendapatkan kerja di kawasan kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 3:44 PM