Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sejak dibuka semula hampir sebulan lalu, destinasi eko-pelancongan di Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian, di sini, kembali menjadi tumpuan ramai.

Seawal 8.30 pagi lagi orang ramai memenuhi pinggir sungai menjalankan aktiviti berkayak, mengayuh bot mini dan bot angsa serta menyelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki 'cruise'.

Pengusaha bot, Zukilnain Hassan, 52, berkata lokasi itu mula dibuka pada pertengahan 2019 sebelum ditutup kerana musim tengkujuh disusuli pandemik Covid-19 yang terus merencatkan aktiviti pelancongan di situ.

"Bagaimanapun, kedatangan pengunjung semakin ramai baik masyarakat sekitar atau luar daerah sebaik dibuka semula hampir sebulan lalu.

"Pada hujung minggu kemeriahan semakin ketara dan kebelakangan ini ramai perantau dan 'orang luar' datang ke sini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

PEMANDANGAN di udara di kawasan Pulau Tengah di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMANDANGAN di udara di kawasan Pulau Tengah di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, apabila destinasi eko-pelancongan kembali bernafas, penduduk juga dapat menjana pendapatan kerana ada yang menyediakan khidmat sewa kayak dan kolam renang mini selain tapak parkir.

Pengunjung Mohd Rozi Abdul Rahman, 45, dari Wakaf Bharu, Tumpat yang pertama kali ke lokasi itu meluahkan rasa teruja kerana tidak menyangka pemandangan amat menarik seperti yang digambarkan.

"Banyak juga kemudahan dan sangat sesuai untuk membawa keluarga, malah jika anak ingin menaiki bot mini sekalipun tidak perlu bimbang kerana disediakan kelengkapan keselamatan.

"Agak menarik kerana terdapat jambatan kecil yang mana pengunjung boleh berjalan kaki melihat keindahan sungai serta paya bakau selain merakamkan gambar kenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 3:08 PM