GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Tanjung Malim: Pemain industri inap desa di Sungkai di sini mendapat rezeki bergolek apabila menerima permintaan tinggi pada musim Pilihan Raya ke-15 (PRU15) ini.

Presiden Persatuan Homestay Perak Noradidah Mokhtar berkata inap desa menjadi pilihan anggota jentera pilihan raya, selain pelancong yang memilih bandar Tanjung Malim sebagai tempat percutian di hujung minggu.

"Permintaan terhadap inap desa di kawasan Sungkai tidak putus dengan permintaan dari pelancong terutamanya untuk hari minggu serta jentera pilihan raya yang datang ke pekan tersebut untuk pilihan raya. Ada juga yang menginap di inap desa di situ sehingga tamat pilihan raya," katanya.

Beliau berkata industri inap desa mempunyai potensi besar untuk dipromosikan sebagai alat pelancongan kerana ia menyajikan suasana kehidupan kampung dan kebudayaan tempatan, serta aktiviti sukan seperti berakit meredah arus deras.

"Selepas pelaksanaan sekatan pergerakan tamat, industri inap desa di Perak memang bertambah maju. Cuma kami ingin memohon penyediaan jaringan Internet yang lancar untuk pelanggan industri inap desa," katanya.

Sementara itu, pengusaha inap desa Sazali Sadikin berharap agak diperbanyakkan lagi insentif bagi pemain industri membina inap desa mereka sendiri, selain sokongan kepada rakyat tempatan untuk memperbanyakkan produk-produk mereka bagi dijual kepada pengunjung.

Seorang lagi pengusaha inap desa di Sungai Klah dan Seberang Perak sejak 14 tahun lepas, Saadiah Mohammad berkata para pengusaha inap desa di kawasan tersebut sedang mempertingkatkan usaha bagi menarik lebih banyak pelancong luar dengan membina laman web, selain menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari stesen kereta api berdekatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri akan memastikan industri inap desa dijadikan punca pendapatan serius bagi rakyat tempatan.

Beliau berkata ini termasuklah mempromosikan penginapan mesra Muslim untuk menarik pelancong dari Timur Tengah yang berpotensi menyumbang hasil tinggi.

"Kali ini, kami telah dibenarkan oleh Majlis Pelancongan Islam (ITC) di bawah MOTAC berkenaan dengan satu pengiktirafan yang dibangunkan ITC yang diguna pakai oleh negara-negara antarabangsa iaitu 'Muslim Friendly Accomodation'," katanya.

Nolee Ashikin berharap pemain industri tidak ketinggalan dalam mengambil peluang untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut dan setakat ini, tiga penggiat inap desa di negeri ini telah memperoleh pengiktirafan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 12:31 PM