FASILITI seperti bilik mesyuarat, kaunter berpusat serta  terminal bas yang menempatkan bas Perak transit di OAOSC Bawong di Sungai Siput yang boleh memudahkan urusan masyarakat Orang Asli.
FASILITI seperti bilik mesyuarat, kaunter berpusat serta terminal bas yang menempatkan bas Perak transit di OAOSC Bawong di Sungai Siput yang boleh memudahkan urusan masyarakat Orang Asli.
Nurul Husna Mahmud


Putrajaya: Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput, Perak dijangka memberi akses kemudahan awam lebih baik kepada masyarakat Orang Asli selain membantu golongan itu menjana pendapatan lebih baik.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Datuk Mohd Nor, OAOSC Bawong yang sudah mula beroperasi sejak tahun 2021 adalah pusat sehenti pertama dibina bagi memudahkan masyarakat orang asli mendapat akses kemudahan awam lebih baik.

"OAOSC Bawong siap pada November 2020 terletak di lokasi strategik yang mana terletak bersebelahan sekolah dan boleh diakses oleh 7,200 masyarakat Orang Asli dari tujuh buah kampung sekitar.

"Antaranya penduduk kampung Bawong sendiri, Pos Perwor, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Legap, Pos Yum, Pos Kuala Mu, Pos Poi dan Pos Piah bagi mendapatkan bantuan dan khidmat berkaitan selain menjadi aktiviti ekonomi masyarakat di situ.

"OAOSC Bawong menempatkan Pejabat Pentadbiran JAKOA Daerah, kedai usahawan Orang Asli yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya spa, gunting rambut, barangan kraf dan banyak lagi.

"Di lokasi yang sama juga terdapat Pejabat Cawangan Lembaga Koko Malaysia, dewan serbaguna, terminal bas yang menempatkan bas Perak transit serta teksi dan juga pondok polis," katanya.

Tambah Sapiah, OAOSC Bawong banyak memberi perubahan terutama landskap pembangunan masyarakat orang asli yang terbabit dalam pelbagai aspek.

"Menerusi OAOSC Bawong boleh dilihat pembangunan bukan sekadar pembinaan bangunan semata-semata, sebaliknya infrastruktur lain juga maju seiring membangun dengan pusat sehenti terbabit.

"Paling ketara ialah jalan perhubungan, pembinaan rumah, bekalan elektrik dan air, projek ekonomi serta ameniti sosial juga bertambah baik.

"Terbaru jalan perhubungan Pos Kemar ke kampung Bawong sedang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bertujuan memberi kemudahan kepada 5,000 penduduk di Pos Kemar mendapatkan perkhidmatan di OAOSC Bawong.

"Ini juga menandakan perkembangan yang baik untuk orang luar yang datang menikmati percutian eko-pelancongan iaitu industri yang pesat membangun di kawasan berhampiran dan juga akses kepada fasiliti lebih baik terutama jalan raya menghubungkan kampung terbabit," katanya.

Sapiah berkata, JAKOA meneliti lebih banyak peluang bekerjasama terutama pihak industri bagi memberi peluang lebih baik kepada penduduk.

"JAKOA sentiasa melangkah ke hadapan dalam merangka program atau projek yang mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Orang Asli.

"Dalam masa terdekat, kami menjangkakan kerjasama dengan peruncit untuk menempatkan kedai runcit atau pasar raya bagi membekalkan barangan keperluan harian selain menjana peluang pekerjaan kepada penduduk," katanya.

OAOSC Bawong juga bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali pertama Hari Orang Asli Sedunia peringkat Kebangsaan pada 19 Ogos.

"Pada Sabtu (19 Ogos), satu temasya akan dianjurkan JAKOA bersempena Hari Orang Asli Sedunia juga menyaksikan pelancaran rasmi OAOSC Bawong oleh YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Banyak aktiviti antaranya bual bicara Hari Orang Asli bersama wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), persembahan sewang, pertandingan sepak takraw, demo masakan dan banyak lagi.

"Bagi masyarakat Malaysia yang ingin mengenali masyarakat orang Asli, mereka boleh menghadiri Hari Orang Asli Sedunia atau berkunjung ke OAOSC Bawong sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 7:36 AM