FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kerajaan negeri sepatutnya melihat aspek positif kewujudan inap desa atau 'homestay' sebagai produk pelancongan negeri yang perlu dibantu serta diperkasakan dan bukannya ditutup.

Ia adalah sebagai alternatif penginapan kepada pelancong dan satu inisiatif bagi menggerakkan sektor pelancongan dalam kalangan Bumiputera di negeri itu sekali gus menjana ekonomi masyarakat di kampung.

Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang Datuk Muhammad Farid Saad berkata, Persatuan Inap Desa (Homestay) Pulau Pinang yang ditubuhkannya pada 2005 kini terdapat di sembilan hingga 11 kampung sekitar Pulau Pinang.

Penubuhan itu adalah di bawah inisiatif Jawatankuasa Pelancongan Bumiputera Pulau Pinang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pelancongan.

"Sebanyak RM2 juta diperuntukan bagi penubuhannya dalam melengkapkan kemudahan premis orang kampung di sembilan kampung seluruh Pulau Pinang.

"Ia kemudiannya dilesenkan di bawah Kementerian Pelancongan yang mana setiap rumah mendapat purata sebanyak RM10,000.

"Sejak itu, program inap desa berkembang, malah lebih banyak rumah kosong dan terbiar dinaik taraf menjadi inap desa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Farid berkata, penubuhan persatuan berkenaan juga berjaya menggerakkan produk lain dalam kampung dan daerah sekitarnya seperti pengeluaran kuih muih, pertanian dan memberikan nafas baru untuk agro-pelancongan.

Katanya, inap desa kini mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi tumpuan penginapan pelancong domestik yang mempunyai keluarga besar atau mencari penginapan murah.

"Jangan berlaku kejam kepada orang kampung yang mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti ini kerana mereka juga hendak cari makan.

"Sebaliknya, lihatlah kesan ekonomi secara keseluruhannya seperti agro, kuih tradisi, kedai makan, kraftangan, pekerjaan dan sebagainya.

"Mungkin pihak kerajaan negeri mendapat aduan daripada penghuni rumah bertingkat yang dijadikan inap desa, namun tidak wajar jika inap desa lain di kampung menerima tempiasnya," katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan negeri menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, Pulau Pinang akan mengharamkan rumah sewa jangka pendek atau inap desa di hartanah bertanah dan bertingkat tidak lama lagi.

Ia sejajar dengan ikrar kerajaan negeri bagi memerangi gangguan yang berpunca daripada pelancong di pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan.

Walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan berkenaan berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 2:29 PM