Nor Fazlina Abdul Rahim

Tumpat: Kak Chik Nasi Berlauk menjadi salah satu kedai makan di Kelantan yang masih mengamalkan konsep harga murah apabila menjual makanan serendah RM3 sejak empat tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah premis yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Mat Salleh Awang Teh, 73 dan Che Halimah Che Ahmad, 66, di Kampung Berangan, di sini, sejak 2012 itu turut menjadi tumpuan orang ramai susulan harga yang murah.

Untuk harga nasi bungkus berlaukkan ayam atau ikan, harga yang dikenakan adalah RM3, manakala bagi nasi dagang atau nasi berlaukkan daging adalah RM4.

Bagaimanapun, tambahan RM1 bagi setiap menu untuk pelanggan yang makan di kedai memandangkan kuantiti lebih banyak selain turut disediakan minuman percuma.

Penolong Pengurus Nasi Berlauk Kak Chik, Asmaa Athirah, 28, berkata, kedai yang diusahakan kedua ibu bapanya mula beroperasi pada 2012 dan ketika itu harga nasi adalah RM2.

"Namun bermula pada 2019, harga dinaikkan kepada RM3 hingga RM4 bagi nasi bungkus memandangkan kos bahan mentah yang meningkat, namun kami mengekalkan harga itu sehingga kini.

"Walaupun kos bahan mentah sentiasa naik, kami mengambil pendekatan untuk kekalkan harga yang sama kerana tidak sampai hati untuk menaikkan harga demi memikirkan pelanggan.

"Ada kalanya terniat untuk naikkan harga namun memikirkan kasihan kepada pelanggan terutama mereka yang susah, kami tidak sampai hati dan mengambil keputusan untuk kekalkan harga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi pelanggan yang makan di kedai pula akan disediakan air percuma dan jenis air akan bertukar setiap hari selain kuantiti nasi lebih banyak.

"Alhamdulillah dengan mengenakan harga yang rendah, sambutan diterima setiap hari sangat menggalakkan.

"Walaupun sudah tidak banyak kedai yang mengenakan harga seperti kami, kami memilih untung yang kecil demi memikirkan pelanggan.

"Harga yang kami kenakan ini seolah-olah kami sudah memperkenalkan Menu Rahmah sejak empat tahun lalu," katanya.

Semalam media melaporkan, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40, mulai semalam.

Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, semalam yang bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.

ASMAA Atirah menunjukkan menu dikedainya di Kampung Berangan yang dijual  dengan harga antara RM3 hingga RM5 setiap hidangan juga disertakan dengan air minuman percuma. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ASMAA Atirah menunjukkan menu dikedainya di Kampung Berangan yang dijual dengan harga antara RM3 hingga RM5 setiap hidangan juga disertakan dengan air minuman percuma. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 5:03 PM