Amir Abd Hamid; Ku Muhammad Kamal Haadi Ku Kamaruzaman dan Shurendar Kannathasan

Subang Jaya: Pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh negara menyifatkan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan siap masak pada harga maksima RM5 adalah usaha kebajikan untuk semua pengguna khususnya golongan B40.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu secara tidak langsung menunjukkan sumbangan pengusaha bagi membantu kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.

"Inisiatif Menu Rahmah sebenarnya adalah sumbangan kami kepada kerajaan untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dengan makanan untuk dinikmati tanpa rasa beban untuk membayar.

"Peranan kita adalah untuk mendapat reda Allah SWT iaitu membuat kebajikan dalam perniagaan dan pelanggan perlu faham. Sebagai contoh, roti nan atau makanan barat kita tak jual RM5," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub merasmikan program pelancaran Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya Hypermarket, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), J Suresh berkata, pihaknya bersetuju untuk menyertai program Menu Rahmah kerana mahu membantu pelanggan yang berhadapan kos sara hidup tinggi ketika ini.

PELBAGAI jenis Menu Rahmah bagi membantu golongan yang memerlukan. FOTO Amiruddin Shahib
PELBAGAI jenis Menu Rahmah bagi membantu golongan yang memerlukan. FOTO Amiruddin Shahib

"Cadangan menu Primas untuk program ini adalah sepinggan nasi berlaukkan ikan atau ayam ditambah sayur bagi makanan tengah hari.

"Untuk sarapan boleh juga hidangan menu seperti mi goreng dan mihun goreng dan sebagainya bersesuaian harga RM5 satu hidangan," katanya.

Manakala, Penasihat Persatuan Sahabat Tomyam Prihatin SeMalaysia, Che Mamad Che Mod berkata, pihaknya akan melaksanakan inisiatif Menu Rahmah secara berperingkat yang mana akan dimulakan di 300 restoran tom yam di Lembah Klang dahulu.

"Menu dicadang buat masa ini untuk harga RM5 adalah nasi padrik dengan air sama ada teh o ais atau sirap ais. Mungkin satu masa nanti menu akan berubah, ikut keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 5:06 PM