LEBIH sepuluh jenis lauk yang dijual Rose Ismail di Medan Selera Dataran Sri Angkasa Jaya di Pantai Dalam. FOTO Nisaa Iryanie Azhar
LEBIH sepuluh jenis lauk yang dijual Rose Ismail di Medan Selera Dataran Sri Angkasa Jaya di Pantai Dalam. FOTO Nisaa Iryanie Azhar
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Jualan Menu Rahmah didakwa semakin kurang ditawarkan berikutan permintaan yang rendah dan dalam masa yang sama kos barangan juga meningkat.

Hasil tinjauan Harian Metro di medan selera sekitar Kuala Lumpur menunjukkan peniaga sudah tidak lagi menyediakan menu terbabit.

Peniaga nasi campur, Rose Ismail, 46, berkata, dia tidak membuat menu disebabkan kurang memberi keuntungan perniagaan miliknya.

"Kalau saya buat Menu Rahmah memang ada pelanggan yang akan datang tapi mereka tidak ada banyak pilihan.

"Saya perlu buat satu jenis lauk yang khas untuk menu itu, pelanggan pun cepat bosan dengan menu yang sama.

"Jadi saya buat satu set nasi putih lauk ayam atau ikan serta sayur berharga RM7 kemudian percuma air. Air pula saya buat tiga jenis iaitu sirap, teh ais atau air oren," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rose dengan kaedah set itu, pelanggan lebih ramai datang dan masih mendapat sedikit keuntungan.

Manakala peniaga, Rohayu Hashim, 60, berkata, rata-rata pelanggan yang beli tidak lari dari harga RM5 hingga RM7.

"Saya pun tidak mampu nak tetapkan harga seperti Menu Rahmah kerana harga pun turun naik jadi saya takut tidak boleh membayar sewa kedai dan pekerja," katanya.

Tambahnya lagi, rata-rata lauk yang dijual Rohayu masih berada dalam lingkungan harga yang bersesuaian.

Sementara itu pembeli, Haziq Sofian Mohamad Johari, 23, berkata, dirinya lebih memilih untuk membeli lauk biasa berbanding Menu Rahmah.

"Saya biasa tengok untuk Menu Rahmah ni lauk yang mereka masak sama setiap hari dan kadang makanan berkenaan rasa seperti tidak cukup bahan.

"Mungkin disebabkan harga yang mereka tawar agak murah jadi disebabkan itu peniaga terpaksa memotong bahan dan ayam dalam saiz yang lebih kecil. Kuantiti nasi pun kadang kala kurang.

"Makanan yang ditawarkan pula jenis makanan yang sudah dibungkus awal pagi menyebabkan nasi tidak lagi panas dan kadang-kadang hampir basi," katanya.

Sementara itu penuntut universiti awam, Aiman Nabihah Khairul Anuar, 23, berkata, kebanyakan penuntut pula lebih suka membeli makanan yang mudah dan cepat.

"Biasa waktu rehat kami memang sekejap sebelum kelas seterusnya mula, jadi kami lebih senang makan di kawasan yang berdekatan kampus sahaja walaupun harganya mahal sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 1:37 PM