Redzuan Muharam


Kemaman: Zahirnya, Muhammad Firdhaus Hasan ada kekurangan kerana hilang keupayaan berjalan akibat lumpuh separuh badan selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal, 12 tahun lalu.

Dia yang menetap di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini juga diuji dengan penyakit cedera saraf tunjang.

Di sebalik ujian itu, perancangan Allah SWT nyata lebih baik apabila hadirkan pasangan, Nurul Jannah Roh, 28, yang juga OKU.

Bezanya, Nurul Jannah menghidap penyakit autoimun yang menyerang sistem saraf.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Firdhaus mengakui lemah semangat selepas terbabit dalam kemalangan malah mengambil masa dua tahun untuk menerima hakikat dirinya sudah berstatus OKU.

Bagaimanapun, dia kembali bangkit selepas menyedari ada lagi yang kurang bernasib baik daripadanya dan berkenalan dengan isteri.

"Saya sepatutnya menyambung pengajian dalam bidang automotif selepas tamat persekolahan namun ditakdirkan kemalangan jadi batalkan hasrat itu.

"Susah juga nak terima hakikat namun perlu akur dan sebenarnya tak fikir soal jodoh hingga berkenalan dengan isteri di pusat fisioterapi pada 2018.

"Alhamdulillah, kami disatukan dan saya bersyukur sebenarnya dapat pasangan OKU kerana dia lebih memahami, tahu macam mana sakit kita serta tahu kemampuan kita," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Firdhaus berkata, memang ada yang mempertikaikan kemampuannya sebelum berkahwin dengan isteri.

Bagaimanapun, Muhammad Firdhaus positif saja kerana bukan semua lemparkan kata negatif malah ramai beri semangat juga untuknya terus cekal.

"Buat masa ini, saya tinggal di rumah mentua namun tetap cari rezeki dengan bekerja di bahagian pemasaran dalam talian.

"Pada masa sama, saya aktif juga di TikTok dengan niat beri inspirasi kepada OKU lain.

"Itu yang saya cuba lakukan dan biarpun ada kekurangan, saya akan setia dan menjaga isteri hingga akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Nurul Jannah berkata, biarpun lumpuh paras pinggang ke bawah, dia yang banyak membantu menguruskan suaminya.

"Daripada awal perkahwinan hingga sekarang, saya yang bantu uruskan suami termasuk pindahkannya daripada katil ke kerusi, mandikan, buang najis serta masukkannya ke kereta.

"Kiranya, saya jaga dia sepenuhnya termasuk bantu pandu kereta kerana suami tidak boleh memandu," katanya yang menderita akibat penyakitnya sejak berumur 17 tahun.

Seperti pasangan lain, Nurul Jannah dan suaminya juga inginkan zuriat sebagai penyeri dalam rumah tangga mereka.

"Bagaimanapun, doktor tak sarankan ada anak kerana agak berisiko.

"Kebanyakan yang ada penyakit seperti saya juga tiada zuriat selepas berkahwin jadi kami reda serta bahagian dengan cara kami," katanya.

MUHAMMAD Firdhaus dan Nurul Jannah disatukan pada 2018. FOTO ihsan Muhammad Firdhaus Hasan
MUHAMMAD Firdhaus dan Nurul Jannah disatukan pada 2018. FOTO ihsan Muhammad Firdhaus Hasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 3:05 PM