BERGAMBAR kenangan ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
BERGAMBAR kenangan ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Redzuan Muharam


Kangar: Mulianya hati pasangan Muhammad Alif Malek dan Mira Nirwani Mohamad kerana sanggup membesarkan tiga anak saudara yang kehilangan ibu walaupun mereka juga ada kekurangan kerana dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Muhammad Alif, 30, OKU 'Cerebral Palsy' (kaki) dan isteri, Mira Nirwani, 31, yang mengalami kecacatan di bahagian pinggang ke bawah (spinal) melakukannya bukan kerana simpati, namun rasa tanggungjawab sebagai waris terdekat kepada tiga beradik itu.

Bagi Muhammad Alif, kehadiran Mikail Rifqi, 10, Nur Qistina, 7, dan Rabiatul Adawiyah Nor Razuan, 6, menjadi pelengkap buatnya serta isteri yang belum dikurniakan zuriat selepas sembilan tahun berkahwin.

"Awalnya, saya dan isteri ambil Nur Qistina dulu sebagai anak angkat walaupun kewangan tidak berapa stabil ketika itu.

"Namun ditakdirkan, kakak ipar meninggal dunia pada pagi raya dua tahun lalu selepas terbabit kemalangan jalan raya.

"Mengenangkan tiada siapa hendak menjaga dua lagi anaknya, kami sepakat jadikan Mikail Rifqi dan Rabiatul Adawiyah sebagai anak angkat.

"Ikutkan yang bongsu (Rabiatul Adawiyah) ada orang nak ambil selain ada rumah anak yatim berminat mahu menjaga Mikail Rifqi (sulung), namun saya enggan pisahkan mereka adik beradik.

"Duit boleh dicari, tetapi jika darah daging sendiri hilang, memang tiada ganti," katanya dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Alif yang bekerja sebagai pembantu am di Kem Bukit Keteri, di sini, mengakui bukan mudah untuk menjaga tiga anaknya itu kerana setiap seorang ada kerenah masing-masing.

"Syukur kerana isteri banyak bantu dan nasihat untuk bersabar lama kelamaan, saya jadi seronok kerana berasa ada keluarga lengkap dan sempurna.

"Anak pun terima saya dan isteri walaupun kami berdua OKU hinggakan kami tidak berasa ada kekurangan.

"Rezeki kami pun tidak putus sejak jaga mereka (anak angkat), bukan saja wang malah syukur kerana dapat beli rumah lebih selesa. Sebelum ini, kami menghuni flat namun kini, di rumah teres.

"Cuma bukan semua orang senang lihat saya...ada segelintir yang sindir dan persoalkan sama ada saya larat untuk jaga anak dengan keadaan diri yang OKU.

"Namun, saya tidak hirau kerana yakin Allah SWT akan bantu," katanya.

Sementara itu, Mira Nirwani menganggap kehadiran tiga anak angkat dalam hidup mereka sebagai bukti Allah SWT mendengar doanya yang selama ini mengharap dikurniakan zuriat.

Menyedari komitmen sebagai ibu, Mira Nirwani sanggup berkorban dengan menghentikan perniagaan nasi kandar dijalankan bagi menjaga dan mengurus ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.

"Syukur kerana doa saya akhirnya terjawab. Walaupun bukan anak kandung tetapi Allah SWT hadirkan tiga anak angkat sekali gus buat saya.

"Sebagai ibu saudara, saya terima kerana tidak sanggup lihat mereka terpisah. Saya tidak anggap mereka sebagai anak saudara atau anak angkat, sebaliknya umpama zuriat sendiri kerana mereka memang darah daging saya.

"Memandangkan tiada pengalaman jaga anak sendiri, saya tanyakan pada pakar kerana saya mahu berusaha jadi yang terbaik buat ketiga-tiganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:15 AM