MINYAK masak bersubsidi yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP.
MINYAK masak bersubsidi yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Syaherah Mustafa


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 8,300 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM20,750, di Kota Bharu, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, Azanizam Affendi Juri, berkata rampasan itu dilakukan di sebuah premis tanpa pemilik di Tanjung Chat, Kota Bharu, pada 4 petang.

"Anggota mengesan premis yang disyaki dijadikan tempat simpanan sementara untuk mengumpul barang kawalan sebelum di seludup ke negara jiran.

"Hasil siasatan, individu yang disyaki terbabit dengan kes memiliki barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, individu terbabit didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Azanizam berkata, harga minyak masak di pasaran tempatan ialah RM2.50 untuk satu kilogram, namun ia dijual dengan harga lebih tinggi mencecah RM4 sekilogram di Thailand.

"Orang ramai diminta menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 12:35 PM