SEJUMLAH minyak masak dan gula yang dianggarkan bernilai RM3,635 dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
SEJUMLAH minyak masak dan gula yang dianggarkan bernilai RM3,635 dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Alasan untuk agihan kepada mangsa banjir digunakan seorang lelaki apabila premisnya yang menyimpan minyak masak dan gula diserbu dalam operasi di Chabang Empat, di sini, semalam.

Bagaimanapun, alasan itu tidak dilayan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila menemui 850 kilogram (kg) minyak masak dan 480 kg gula di premis berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, dalam serbuan pada 4.50 petang itu, pihaknya percaya minyak masak dan gulayang disimpan di premis itu mahu diseludup ke Thailand.

"Ketika serbuan dilakukan, kita menjumpai sejumlah minyak masak paket satu kg bersubsidi dan gula yang disimpan dengan anggaran nilai RM3,635.

"Kami mengesyaki pemegang lesen barang kawalan itu melanggar peruntukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Malah, pemilik premis berusia 20-an memberi alasan barangan itu untuk diagihkan kepada mangsa banjir, namun dia gagal mengemukakan dokumen kebenaran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, tindakan lelaki itu menyimpan bekalan di lokasi yang tidak dilesenkan menimbulkan keraguan dan mengesyaki ia sebagai transit untuk kegiatan penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:39 PM