SHAMSOL Kamal (kanan) dan Zaiton bersama anak mereka Muhammad Hazmi di Nibong Tebal yang memerlukan kos sebanyak RM50,000 bagi menjalani rawatan trombektomi endovascular untuk mengeluarkan darah beku selepas diserang angin ahmar. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare
SHAMSOL Kamal (kanan) dan Zaiton bersama anak mereka Muhammad Hazmi di Nibong Tebal yang memerlukan kos sebanyak RM50,000 bagi menjalani rawatan trombektomi endovascular untuk mengeluarkan darah beku selepas diserang angin ahmar. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare
Zuhainy Zulkiffli

Bukit Mertajam: Sebelum ini, dia aktif dalam sukan di sekolahnya, namun kini hanya terbaring di katil hospital selepas diserang angin ahmar.

Bukan itu saja, remaja berkenaan, Muhammad Hazmi Shamsol Kamal, 15, kini memerlukan wang sebanyak RM50,000 bagi menampung kos rawatan trombektomi endovascular untuk mengeluarkan darah beku di dalam otak.

Bapanya, Shamsol Kamal Ismail, 50, dari Nibong Tebal, di sini, berkata, anaknya yang tidak mempunyai rekod penyakit kronik itu didapati tidak dapat bergerak baru-baru ini dan sukar bertutur sebelum dibawa ke hospital bagi pemeriksaan.

Muhammad Hazmi kemudian disahkan diserang angin ahmar dan perlu rawatan segera bagi mengeluarkan darah beku di saluran otaknya.

"Rawatan dengan kos sebanyak RM50,000 itu perlu disegerakan kerana jika tidak, dia akan mengalami lumpuh seumur hidup.

"Doktor beritahu bahawa prosedur trombektomi endovascular itu perlu dijalankan segera dalam masa terdekat bagi mengurangkan risiko kerosakan sel otak berterusan," katanya di sini, hari ini.

Shamsol Kamal berkata, dia yang bekerja kampung mempunyai pendapatan sebanyak RM1,500 manakala isterinya Zaiton Mohamed, 48 tahun adalah suri rumah selain menyara tiga lagi anak termasuk adik kembar kepada Muhammad Hazmi.

"Sudah tentu dengan kejadian yang menimpa menyebabkan kami buntu dan tidak tahu bagaimana mahu mengumpul wang sebanyak itu," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, katanya kejadian itu amat mengejutkan kerana tanggapan bahawa angin ahmar hanya berlaku kepada golongan dewasa adalah tidak tepat tetapi boleh terjadi kepada remaja sekolah.

Sui Hau berkata, pihaknya terpanggil bagi membantu remaja terbabit dengan melancarkan tabung kutipan dana untuk mengumpul kos perubatan yang diperlukan.

"Ibu bapa remaja itu memberi persetujuan untuk mengumpul dana dalam usaha menyelamatkan nyawa anak mereka.

"Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi kami di talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-539 9212," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 2:28 PM