Chua Sui Hau (kanan) berbual dengan Magdalena (dua dari kanan), mengenai sumbangan orang ramai. FOTO / ZUHAINY ZULKIFFLI
Chua Sui Hau (kanan) berbual dengan Magdalena (dua dari kanan), mengenai sumbangan orang ramai. FOTO / ZUHAINY ZULKIFFLI
Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Syukur kerana tidak perlu lagi menyelongkar tong sampah selepas terima sumbangan daripada orang ramai.

"Malah saya merancang mahu menjual barangan secara dalam talian bagi meneruskan kelangsungan hidup."

Begitu kata Magdalena Herkules Manalu, 39, yang menyelongkar tong sampah bagi menjual barangan terpakai selepas suaminya diserang angin dan terlantar sejak tahun lalu.

Magdalena berkata, sumbangan daripada masyarakat juga membolehkannya membayar kos rawatan dan pembedahan suami, Choong Nai Fatt, 44.

"Saya sudah tidak selongkar tong sampah lagi dan memandangkan usia kandungan juga sudah tujuh bulan, saya akan berniaga selepas bersalin anak ketiga.

"Berikutan wang sudah mencukupi, saya memohon supaya orang ramai berhenti menyumbang dan membantu golongan lain pula yang memerlukan," katanya.

Magdalena ditemui ketika menerima kunjungan badan kebajikan 'One Hope Charity & Welfare' yang diwakili Datuk Seri R Arunasalam dan Pengerusinya, Chua Sui Hau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lanchang Ong Ah Teong di rumahnya di Jalan Lenggong, Jelutong di sini, hari ini.

Sementara itu, Sui Hau berkata, pihaknya berjaya mengumpul RM113,500 untuk keluarga berkenaan hasil sumbangan orang ramai dalam tempoh 40 jam selepas ia dihebahkan di media sosial.

Ia akan digunakan bagi menampung kos rawatan dan pembedahan tempurung kepala Nai Fatt yang dijangka dilakukan di sebuah hospital swasta di Bayan Baru tidak lama lagi.

"Ia membabitkan kos RM45,000 termasuk untuk pembedahan, rawatan dan fisioterapi Nai Fatt.

"Baki sumbangan akan diserah kepada Magdalena secara berperingkat setiap bulan supaya dia boleh menguruskan kewangan dengan baik bagi kelangsungan hidup," katanya.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan kisah Magdalena yang tabah menjaga Nai Fatt serta dua anak, Choong Ro Ueen, 9, dan Choong Yee, 3.

Berikutan terputus bekalan makanan, Magdalena setiap hari menyelongkar tong sampah bagi mencari barangan terpakai sebelum dijual di pasar karat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:57 PM