SHADAN (kiri) memerhatikan petugas memberi makanan kepada zirafah di Zoo Melaka, Ayer Keroh, hari ini. FOTO HASSAN OMAR.
SHADAN (kiri) memerhatikan petugas memberi makanan kepada zirafah di Zoo Melaka, Ayer Keroh, hari ini. FOTO HASSAN OMAR.
Hassan Omar


ZOO Melaka di Ayer Keroh memperoleh RM8.8 juta hasil kunjungan 535,000 pelawat dalam operasi sepanjang tahun lalu, iaitu meningkat 20 peratus berbanding pelawat dicatatkan pada 2018.

Perolehan itu mampu membiayai kos makanan 650 haiwan daripada 120 spesies, selain upah 70 petugas yang bekerja sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan 30 petugas semasa PKP mula dikuatkuasakan hingga sekarang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, perolehan itu hasil daripada kesungguhan pegawai dan kakitangan Zoo Melaka diketuai Pengarahnya, Zanariah Khamis dengan dibantu dua Ahli Zoologinya, Azman Ghazali serta Mohd Aizad Faizatul Azreen, melakukan pelbagai pembaharuan.

“MPHTJ mengambil alih pengurusan Zoo Melaka daripada syarikat swasta pada Ogos 2018 dan sejak itu pelbagai pembaharuan dibuat hingga membolehkan zoo mencatatkan perolehan berkenaan yang berjaya membiayai pelbagai kos operasi,” katanya selepas menerima sumbangan bahan makanan haiwan bernilai RM6,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Hazreeq Hasman di zoo itu, hari ini.

Shadan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada bakti orang ramai untuk mengisi Tabung Sumbangan Zoo Melaka dilancarkan pada 4 April lalu bagi membiayai kos makanan dan perubatan haiwan berikutan ketiadaan pengunjung akibat PKP.

Diminta mengulas mengenai jangkaan penurunan perolehan Zoo Melaka akibat ketiadaan pengunjung sepanjang PKP dilaksanakan, beliau berkata, MPHTJ tidak menjangka perolehan tahun ini mampu menyamai atau melebihi perolehan tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai jangkaan penurunan itu berkata, Zoo Melaka bertekad menarik lebih ramai syarikat korporat dan individu prihatin terhadap kehidupan haiwan untuk turut memberikan sumbangan kepada tabung itu.

“Kami ada lima harimau belang atau Harimau Malaya, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa yang setiap seekor memerlukan enam kilogram daging sehari.

“Kos keseluruhan makanan 650 haiwan ialah RM180,000 sebulan dan setakat ini tabung itu berjaya mengumpulkan RM40,000 hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap nasib haiwan,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu membuktikan anggota komuniti di negara ini prihatin terhadap kebajikan haiwan dan sesiapa yang ingin memberikan sumbangan diminta menghubungi kakitangan Zoo Melaka, Eriza dengan menelefon 012-8976937 atau Shahira (011-12852789)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 12:55 PM